Most Sought After Biology Notes

Most Sought After Biology Notes

monthly poster

Friday, 5 May 2017

(BAHASA) Sekolah Kita - 5 Contoh Penipuan/ Penyelewengan Pedagogi oleh Pihak Luar

Sepanjang saya membuat seminar di sekolah, guru-guru sering mengadu bahawa mereka didatangi oleh pihak luar yang mempromosikan kaedah belajar mereka yang bertentangan dengan konsep dan teori pendidikan yang sedia ada. Maka, hari ini, kita akan analisis 5 jenis penyelewengan yang biasa berlaku di sekolah akibat peranan media atau pihak luar yang memberikan informasi yang salah berkaitan konsep P&P.

1. Neuro-Linguistic Programming (NLP)


Program ini menyatakan bahawa dengan apabila kita 'reset' sistem saraf kepada ayat-ayat tertentu, kita boleh mengubah perasaan, sikap, atau tingkah laku yang kita ingini. 

Sebagai contoh, ketika anda gembira, genggam tangan anda dan sebut YES. Praktikkan berkali-kali. Lama-kelamaan, ada akan automatik gembira setiap kali anda sebut YES atau genggam tangan anda. 

Tetapi, kajian saintifik mengesahkan bahawa tiada hubungan signifikan antara sistem saraf, bahasa, dan tingkah laku yang ditunjukkan. Malah, NLP dianggap sebagai pseudoscience dan menjadi contoh rujukan lazim mengenai penipuan pendidikan di Amerika Syarikat.


2. Otak Kiri/Kanan


Konsep ini menyatakan bahawa bahagian otak berbeza mengawal aktiviti yang berbeza-beza mengikut skil dan bakat seseorang. Maka, jika seorang murid pandai melukis, dia dianggap mempunyai otak kanan yang hebat. Juga, jika dia lemah dalam Matematik, maka murid tersebut perlu mengikuti bengkel yang boleh 'mengaktifkan' otak kirinya.

Kajian menunjukkan bahawa otak manusia adalah kompleks dan tidak terhad kepada kiri/kanan. Juga, konsep ini adalah merbahaya kerana seseorang murid akan dilabel dan ini akan menghadkan potensi murid tersebut untuk maju dalam usaha pembelajarannya.


3. Brain Gym

Program ini mengatakan bahawa teknik senaman tertentu akan merangsang otak kita kepada tahap genius. Memang benar bahawa aktiviti senaman umum (seperti jogging) akan memgekalkan keaktifan dan kesihatan otak secara keseluruhan. Tetapi, tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa teknik senaman khusus akan menyebabkan otak 'diaktifkan' dan meningkatkan IQ seseorang.  

4. Stail Belajar (Learning Styles)


Konsep ini menyatakan bahawa murid-murid belajar dengan optimum mengikut cara atau stail belajar masing-masing. Sebagai contoh, pelajar yang suka membaca buku komik lebih cenderung untuk belajar secara visual.

Seperti otak kiri/kanan, kaedah ini dianggap terlalu ringkas kerana murid-murid sebenarnya boleh diajar mengikut mana-mana stail yang bersesuaian dengan kemampuan pelajar, silibus, suasana pembelajaran, dan kaedah penilaian. 


5. 'Enriched Environment' 




Konsep ini mengatakan bahawa murid-murid perlu didedahkan dengan jumlah rangsangan atau stimulus maksimum oleh kerana minda mereka masih berkembang. Maka, murid-murid perlu didedahkan dengan rangsangan visual dan bunyi berterusan melalui televisyen dan telefon pintar (smartphone).

Tidak dinafikan bahawa televisyen dan smartphone ialah objek biasa dalam dunia moden masakini. Tapi, alat-alat ini berpotensi merendahkan fokus dan boleh menghadkan kemampuan mereka untuk menafsir dan menaksir maklumat. Maka, penggunaan alat-alat ini patut dihadkan di bawah pengawasan ibubapa dan guru.

Diharap para guru lebih peka dalam hal ini dan tidak mudah ditipu oleh pihak luar yang mengaku mereka pakar dalam bidang pendidikan tetapi tidak mempunyai kelulusan yang sepatutnya.

-Cikgu Heery.

No comments:

Post a Comment